28200 Bandar Bera,
Pahang Darul Makmur

Tel : 09-2446067

Selasa, 11 November 2014

SEJARAH

SEJARAH PENUBUHAN SK. DURIAN TAWAR


         Sekolah ini ditubuhkan pada tahun 1928 oleh seorang Penghulu, iaitu Hj. Long bin Sulaiman.   Pada mulanya sekolah ini dibina di atas sebidang tanah seluas hampir satu  ekar sahaja iaitu dimana terletaknya Balai Polis Kg. Durian Tawar sekarang ini.   Ketika itu hanya terdapat sebuah bangunan panjang yang dibuat hasil titik peluh orang kampung.   Bangunan sekolah asal ini pada ketika itu beratapkan atap daun, bertiangkan kayu bulat, berlantaikan tanah dan dindingnya bahagian bawah kulit kayu, manakala bahagian atasnya pula diselang-selangkan dengan kayu mengkirai.  Tenaga pengajar ketika itu seramai 8 orang termasuk Guru Besar. Guru Besar pertama ialah En. Wahid bin Minal yang berasal dari Negeri Sembilan. Pelajar-pelajarnya pula tidak lebih daripada 20 orang yang mana bertukar masuk dari SK. Guai.   Aliran yang ada cuma lima sahaja iaitu darjah 1 hingga darjah 5. Pelajaran yang diajar pula ialah Bahasa Melayu, Ilmu Hisab, Ilmu Alam, Taraweh, Nahu, Rumi, dan Jawi. Masa belajar pula dari jam 8.00 pagi hingga jam 12.00 tengah hari.  Bagi meneruskan agenda ketika itu kerajaan  telah memberikan bantuan percuma ‘Papan Batu’ dan ‘Kalam Batu’ kepada setiap murid. Walaubagaimanapun murid-murid cuma berkaki ayam sahaja ke sekolah.

        Lebih kurang 3 tahun di tapak yang sempit dan bersebelahan jalanraya berselekoh tajam, pelajar pun meningkat sehingga 50 orang.  Guru Besar ketika ini ialah En. Idris bin Yusoff seorang  anak watan Temerloh. Pada tahun 1933 SK. Durian Tawar berpindah di tapak baru dengan wajah baru, iaitu di tapak sekarang ini.  Bangunan baru yang agak modan telah dilengkapkan dengan bekalan elektrik dan air paip.   Mulai saat itu sekolah ini semakin dikenali oleh penduduk sekitar. Ramai pelajar dari kampung berdekatan seperti Kg. Lebak, Kg. Tok Langit dan Mengkarak bersekolah di sini sehingga pelajarnya telah meningkat kepada 200 orang .

        Selepas beberapa tahun kemudian En. Idris bin Yusoff telah ditukarkan ke SK. Belengu. Guru Besar seterusnya ialah En. Sulaiman bin Satin, En. Yaakob bin Midun, En. Abdul Aziz, En. Manap bin Sutan Makad, En. Ramli Ismail, En. Manap bin Muhammad, Hj. Jaafar bin Isa, En. Hamiyuddin bin Taib, Pn. Che Fatimah bin Ismail, En. Aminuddin bin Hj. Abdul Hamid dan En. Sidek bin Ahmad. Pada tahun 2002 hingga 10 Februari 2007 En. Aminuddin bin Hj. Abdul Hamid diberi kepercayaan sekali lagi sebagai guru besar sehingga sekarang diterajui  oleh En. Md Yusof bin Ghani.

        Pada tahun  2002 sekolah ini sekali lagi bertukar wajah dengan mendapat dua  blok bangunan tiga tingkat hasil dari Rancangan Malaysia ke 8. Tahun 2002 sesungguhnya amat bertuah  kepada sekolah ini apabila mencipta sejarahnya tersendiri dan dinobatkan sebagai sekolah terbaik UPSR di Daerah Bera dengan keputusan 94% lulus dan 5 orang pelajar cemerlang 5A. Manakala pada tahun 2005 sekolah ini telah mencapai 100% UPSR. Pada tahun 2008 keputusan UPSR mencapai 80.56% di mana telah mencatatkan satu lagi sejarah apabila seramai 6 orang memperolehi keputusan 5A, pada tahun 2009 hanya 75% dan seramai empat orang memperolehi 5A. Pada tahun 2010 66.7% dan 2 orang 5A.

        Sekolah ini telah banyak melahirkan murid-murid yang tersohor seperti Dr. Rosnah bt. Samsudin, Dr. Roslan bin Baki, Dr. Rosilah bt. Abdul Rahman, bekas Ahli Parlimen Temerloh  Dato’ Hj. Mohd Sarit bin Yusof dan ADUN Guai sekarang iaitu Yang Berhormat En. Norol Azali bin Sulaiman. Sesungguhnya SK. Durian Tawar telah mengalami perubahan besar sejak dari penubuhannya sehingga ke hari ini, seterusnya dijangkakan sekolah ini akan lebih berjaya  dan cemerlang suatu hari nanti.

                                  ……………………………TAMAT………………………….

2 ulasan: